SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menunggu surat rasmi daripada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
Anwar berkata, kedudukan Anthony dalam Kabinet ketika ini masih tertakluk kepada surat rasmi berkenaan.
“Tunggu surat (daripada Loke),” katanya ringkas kepada media selepas menghadiri Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM di sini, hari ini.
Sebelum ini, Anwar menasihatkan Anthony supaya mempertimbangkan semula hasratnya untuk meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan isu pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anwar turut berkata, DAP tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak yang mempunyai kepentingan politik untuk berundur daripada kerajaan semata-mata bagi mewujudkan ketidakstabilan dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar enggan mengulas ketika ditanya mengenai status penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Sebaliknya, beliau menyerahkan perkara itu kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk memberikan penjelasan. – MalaysiaGazette
















