KUALA LUMPUR – Kegigihan peniaga wanita, Datuk Dr. Zairita Azlin mendapat perhatian ramai menerusi bukunya bertajuk She Chose To Rise.
Selain mendapat perhatian pembaca dari Malaysia dan luar negara, beliau juga mendapat pujian daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Buku berkenaan dilaporkan telah menembusi 35 negara dengan jualan mencecah 2,000 naskhah di Amazon, Amerika Selatan.
Baru-baru ini, inspirasi kisah Zairita itu turut diketengahkan dalam program From Malaysia To the World anjuran Ezcape Travel Tech Sdn. Bhd.
Program berkenaan menghimpunkan usahawan, pemain industri serta rakan perniagaan dari Malaysia dan luar negara dalam usaha membuka lebih banyak ruang untuk jaringan profesional dan kerjasama merentas pasaran.
Program berkenaan turut menjadi pentas perkongsian ilmu dan inspirasi sebuah lagi buku bertajuk The Unstoppable Millionaire: 9 Simple Steps To Stay Undefeated karya Dr. Tahir Hussain.

Pelancaran kedua-dua buku itu disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan dan Ekosistem Malaysia (MEEDC), Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah.
Menurut Zairita, bukunya itu lahir daripada kegagalan yang pernah dilaluinya termasuk hidup berrumahtangga.
“Saya menulis buku ini setelah saya gagal dalam kehidupan. Saya gagal dalam rumah tangga. Bersandarkan itu, saya bangkit untuk buktikan kepada mereka di luar sana bahawa kegagalan bukanlah alasan untuk kita mengalah,” katanya.
Bagi Zairita, pengalaman pahit bukan sesuatu yang perlu disembunyikan sebaliknya boleh dijadikan kekuatan untuk membina kehidupan lebih baik.
Buku She Chose To Rise diterbitkan oleh sebuah syarikat penerbitan dari United Kingdom dan mengangkat perjalanan seorang wanita dalam berdepan cabaran, membina semula keyakinan diri serta mengejar cita-cita dan tujuan hidup.
Katanya, dia turut menerima maklum balas daripada wanita di Malaysia dan luar negara yang mengakui tersentuh serta mendapat inspirasi selepas membaca buku tersebut.
Karyanya berkenaan turut mendapat restu dan galakan daripada Dr. Mahathir Mohamad atau Tun M.
Bagi beliau, perjalanan Tun M dalam membawa nama Malaysia ke pentas dunia turut menjadi inspirasi kepada aspirasi yang mahu diketengahkan menerusi program From Malaysia to the World.
Baru-baru ini, Zairita mencipta kejayaan tersendiri apabila muncul sebagai rakyat Malaysia pertama yang dinobatkan sebagai She For The Nation – Season 2 dalam satu acara yang berlangsung di kediaman Perdana Menteri Sri Lanka, Temple Trees di Colombo.
Pencapaian tersebut menjadi detik kebanggaan dalam perjalanan beliau membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Sementara itu, From Malaysia to the World yang dianjurkan Ezcape Travel Tech Sdn. Bhd. juga membuka ruang kepada usahawan dan pemain industri untuk bertemu dan memperkenalkan perniagaan masing-masing serta memahami keperluan bakal rakan kerjasama.
Menurut Zairita, jaringan yang bermakna merupakan antara langkah awal yang penting untuk usahawan tempatan meneroka peluang di luar pasaran Malaysia. – MalaysiaGazette
















