RAUB – Seorang warga emas meninggal dunia akibat melecur dalam kebakaran di sebuah rumah jenis separuh kekal di Kampung Kuala Dong, Jalan Masuk Gesing, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, mangsa yang berusia 80 tahun ditemukan di ruang tamu rumah berkenaan selepas pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dan pencarian.
Menurutnya, setiba di lokasi, didapati sebuah rumah jenis separuh kekal berukuran 40 kaki x 60 kaki persegi sudah 80 peratus terbakar.
“Pasukan bomba menjalankan tindakan pemadaman dan kawalan dibantu pasukan dari BBP Kuala Lipis dan BBP Sungai Koyan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 2.13 pagi. – MalaysiaGazette
















