KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor meluahkan rasa dukacitanya terhadap pemergian Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini.
Isteri bekas Perdana Menteri turut menyifatkan mereka berdua mempunyai banyak kenangan yang dikongsi bersama.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Dengan penuh dukacita, saya menerima berita pemergian YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali pada pagi ini.
“Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarhamah. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT, ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan segala amal solehnya diterima-Nya.
“Al-Fatihah. Banyak kenangan bersama Allahyarhamah pada satu masa dahulu, dari Rosmah Mansor sekeluarga,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini.
Dalam laman sosial itu, Rosmah turut memuat naik beberapa keping gambar beliau bersama-sama Tun Dr. Siti Hasmah yang dirakam pada majlis-majlis rasmi yang dihadiri kedua-duanya.
Gambar itu termasuk mereka berdua berpelukan ketika menghadiri upacara pengebumian bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi tahun lalu.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri yang juga ibu kepada tujuh anak, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini pada usia 100 tahun.
Berita pemergian Allahyarham Siti Hasmah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir hari ini. – MalaysiaGazette
















