Masnor Abdul Hamid

RAUB – Seorang wanita berusia 76 tahun cuba mendapatkan bantuan orang kampung untuk menyelamatkan suaminya yang terperangkap ketika rumah mereka terbakar di Kampung Kuala Dong di sini malam tadi.

Namun api yang marak terlalu pantas menyebabkan usaha penduduk kampung untuk masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan Abdul Hamid Jaafar, 80, tidak berjaya.

Isteri mangsa, Norjah @ Rogayah Yahya bagaimanapun berjaya keluar dari rumah dan berada dalam keadaan selamat.

Menurut anak kedua pasangan itu, Masnor Abdul Hamid, 49, ketika kejadian, hanya ibu dan bapanya berada di rumah berkenaan kerana menjaga bapanya yang uzur.

Katanya, ibunya cuba mendapatkan pertolongan dengan memanggil penduduk kampung semasa kebakaran berlaku namun api marak terlalu pantas menyebabkan usaha untuk memasuki rumah bagi menyelamatkan bapanya tidak berjaya.

“Emak cuba panggil orang kampung untuk bantu selamatkan ayah tetapi api cepat sangat merebak sebab rumah kayu dan menggunakan papan besar.

“Orang kampung cuba membantu tetapi api sudah terlalu marak dan tiada siapa yang berjaya masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, mangsa, Abdul Hamid  ditemukan dalam keadaan terlentang dan melecur di ruang bilik utama selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh bomba.

Masnor berkata, ketika kejadian, semua adik beradiknya tiada di rumah.

Kejadian itu menyebabkan ibunya hari ini trauma dan terkejut dengan kejadian yang berlaku.

Katanya, bapanya yang menghidap strok sejak kira-kira setahun lalu juga mengalami keadaan kesihatan yang menyebabkannya adakalanya keliru.

“Kami memang tahu keadaan kesihatan ayah. Sebelum ini kami bawa dia menjalani pemeriksaan susulan dan berjumpa pakar. Saya juga kerap berhubung dengan ayah melalui telefon dan berjumpa dengannya,” katanya.

Menurutnya, keluarganya turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan namun peranti itu tidak mempunyai cakera keras (HDD) untuk menyimpan rakaman dan hanya berfungsi sebagai paparan secara langsung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya tiba di lokasi kira-kira 10.15 malam dan mendapati sebuah rumah terbakar kira-kira 80 peratus manakala mangsa berada di dalam bilik utama.

“Pemeriksaan mendapati mangsa lelaki Melayu berusia 80 tahun telah meninggal dunia di ruang bilik utama rumah manakala isterinya berjaya menyelamatkan diri.

“Pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya kira-kira jam 11 malam,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan bersama pegawai Forensik Bomba Lipis mendapati mayat mangsa mengalami kesan lecur kira-kira 100 peratus.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat bagi mengetahui punca dan sebab kematian.

“Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak Forensik Bomba,” katanya.

Masnor berkata, keluarganya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan punca kebakaran.

“Kami masih menunggu laporan siasatan Forensik Bomba. Apa sahaja keputusan yang disahkan nanti, kami terima,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here