Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Tarikh hari ini mengembalikan ingatan kepada pertemuan terakhir dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, lapan tahun lalu di New York, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Choo Seong berkata, berkesempatan bertemu Allahyarhamah pada 28 September 2018 ketika Dr. Siti Hasmah menemani Tun Dr Mahathir Mohamad ke Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Walaupun lapan tahun sudah berlalu, saat bersalaman dan berbual dengan Allahyarhamah masih segar di ingatan.

“Meskipun sentiasa berada di sisi seorang pemimpin negara, Allahyarhamah tampil sederhana, tenang dan merendah diri,” katanya.

Katanya, dengan kelembutan serta kehangatan seorang ibu yang dimiliki Dr. Siti Hasmah membuatkan orang yang bertemu dengannya berasa dihargai.

“Bagi saya, Allahyarhamah bukan sekadar isteri kepada seorang pemimpin atau seorang tokoh negara.

“Beliau sendiri telah meninggalkan jasa yang begitu besar melalui penglibatan dalam aktiviti kebajikan, kesihatan dan khidmat masyarakat,” katanya lagi.

Tambah Choo Seong lagi, teladan yang ditunjukkan Siti Hasmah sebagai wanita, ibu, isteri dan insan yang prihatin akan terus dikenang.

“Pemergian beliau bukan sahaja dirasai keluarga serta sahabat handai, malah rakyat Malaysia yang pernah tersentuh oleh jasa dan keprihatinannya. Terima kasih atas segala jasa, bakti dan nasihat yang pernah dicurahkan.

“Semoga sifat dan keperibadian beliau akan terus menjadi inspirasi dan dikenang oleh generasi akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Choo Seong turut merakamkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Dr. Siti Hasmah yang juga ibu kepada tujuh anak, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

Berita pemergian Allahyarhamah disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here