Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Navigasi Udara) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Zainul Abidin Maslan (kanan) bercakap ketika sesi soal jawab Program Literasi Media CAAM-Media.

SEPANG – Pertunjukan ruang udara akan diadakan sempena penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 4 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Navigasi Udara) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Zainul Abidin Maslan berkata pihaknya  telah membuat persediaan dari aspek teknikal dan perkhidmatan bagi memastikan kelancaran pertunjukan berkenaan.

“Pesawat Gulf Air akan melakukan penerbangan rendah ketika perlumbaan bermula. Perkara itu sudah diselaraskan dengan pasukan kami, termasuk pusat kawalan dan menara kawalan KLIA.

“Ia akan menyebabkan gangguan yang sangat minimum terhadap trafik udara. Kami juga bersedia untuk mengendalikan operasi seumpama itu pada hari perlumbaan,” katanya pada sesi soal jawab Program Literasi Media CAAM-Media.

Turut hadir Pengerusi CAAM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong.

Terdahulu katanya, pertunjukan udara yang dikendali Gulf Air itu melaksanakan raptai esok.

Katanya lagi, CAAM bersedia menerima penerbangan tambahan yang membawa logistik pasukan F1, selain memastikan operasi fly-past tidak menjejaskan kelancaran trafik udara pada hari perlumbaan.

Beliau berkata jumlah trafik udara pada hari berkenaan dijangka kekal seperti biasa, dengan hanya beberapa penerbangan tambahan membawa logistik pasukan yang akan menyertai perlumbaan.

Sementara itu, Yong berkata, CAAM memainkan peranan penting dalam memastikan F1 GP Bahrain di SIC pada hujung minggu ini dapat dilaksanakan.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berucap pada Program Literasi Media CAAM-Media.

“Bayangkan jumlah pesawat yang membawa pelumba, kereta perlumbaan serta semua anggota sokongan. CAAM memainkan peranan besar dan perkara ini perlu kita ingat.

“Ini sangat penting kepada ekonomi Malaysia kerana kita perlu memastikan penganjuran F1 di Malaysia dapat dilaksanakan hujung minggu ini,” katanya.

Malaysia kembali menganjurkan acara F1 di SIC selepas sembilan tahun menerusi penganjuran GP Bahrain bermula 2 hingga 4 Oktober ini.

SIC sebelum ini menjadi lokasi GP Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1 susulan peningkatan kos penganjuran dan fi pelesenan.

Kembalinya perlumbaan berprestij itu ke Malaysia adalah hasil kejayaan diplomasi antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al-Khalifa. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here