KLUANG – Seorang lelaki maut manakala seorang pembantu perubatan parah dalam kemalangan dua motosikal di Jalan Yap Tau Sah di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, Bahagian Siasatan Polis Trafik Daerah (BSPTD) Kluang mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut pukul 2 petang.
“Kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda Vario 150 ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang bekerja sendiri dengan Yamaha Lagenda 110 ditunggang seorang lelaki berusia 46 tahun bersama-sama anaknya berusia 12 tahun.
“Hasil siasatan mendapati Yamaha Legenda 110 sedang dalam perjalanan dari arah Bulatan Yap Tau Sah menghala ke lampu isyarat Kluang Indah, manakala Honda Vario 150 dalam perjalanan dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai Honda Vario 150 telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Yamaha Legenda 110,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat daripada kemalangan tersebut penunggang Honda Vario 150, Muhammad Adam Paulus Abdullah, 48, yang bekerja sendiri beralamat di Kampung Melayu di sini cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, sementara itu penunggang Yamaha Legenda 110, Mohd Ashadi Hashim, 46, beralamat di Taman Intan di sini patah kedua-dua belah tangan dan mengalami pendarahan di kepala.
Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini untuk rawatan.
Nik Mohd Azmi berkata, anak mangsa berusia 12 tahun yang membonceng tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette
















