ROMPIN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama enam hari berakhir dengan penemuan mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Kampung Lesong, Kedaik, di sini, semalam.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 11.50 pagi oleh pasukan pencarian Team B di kawasan paya, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, operasi SAR hari keenam bermula jam 8 pagi dengan kekuatan 43 anggota pelbagai agensi dan orang awam.
Ujarnya, ia termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta penduduk kampung.
Menurutnya, pasukan pencarian digerakkan ke kawasan hutan pada jam 11 pagi dan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melakukan pencarian di beberapa lokasi tumpuan dalam radius lima kilometer.
Operasi turut dibantu Unit Dron IPD Rompin, Unit Dron JBPM Kuantan serta Unit K9 IPK Pahang.
“Pada jam 11.50 pagi, Team B memaklumkan penemuan satu jasad di kawasan paya kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 1.05 tengah hari oleh anggota Balai Polis Kuala Rompin sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, bedah siasat telah dijalankan, namun punca kematian tidak dapat dipastikan berikutan keadaan jasad mangsa yang telah mereput.
Katanya, kes kini disiasat sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Operasi SAR kemudian ditamatkan dan Pos Kawalan Polis (PKP) ditutup pada jam 2 petang.- MalaysiaGazette
















