KUALA LUMPUR – Dua beradik yang cedera ditikam seorang lelaki warga asing di Taman Sri Bintang, Kepong semalam dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, kedua-dua mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala permohonan reman terhadap suspek yang turut cedera dibuat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini tiada laporan menunjukkan suspek mempunyai masalah mental.
“Seramai lima individu terdiri daripada kenalan suspek dan keluarga mangsa sudah dirakam keterangan. Rakaman percakapan kedua-dua mangsa akan dilakukan selepas mereka menerima rawatan,” katanya menerusi kenyataan.
Mengulas dakwaan hubungan antara suspek dan mangsa wanita, Anuar Bakri berkata, keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menunjukkan petunjuk kedua-duanya mempunyai hubungan percintaan.
Sebaliknya polis percaya kejadian itu berpunca daripada masalah keluarga dan persahabatan.
Sebagai rekod, dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, dua beradik itu cedera selepas ditikam lelaki warga asing yang dipercayai menceroboh masuk ke sebuah rumah di Taman Sri Bintang.
Polis menerima panggilan daripada orang awam pukul 5.04 pagi sebelum anggota tiba di lokasi dan menemukan kesan kebakaran di luar rumah serta kedua-dua mangsa yang cedera bersembunyi di dalam tandas di tingkat bawah.
Pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa adalah warga tempatan manakala suspek turut mengalami kecederaan akibat tikaman.
Ketiga-tiga mereka kemudian dibawa dengan ambulans ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















