Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menuntut kerajaan memberikan jawapan khusus terhadap Policy Paper Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bersasar yang dikemukakan kepada kerajaan pada 11 September lalu bukan sekadar menetapkan sasaran peningkatan simpanan persaraan.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir berkata, PGIRM menghormati matlamat kerajaan untuk meningkatkan jumlah ahli KWSP yang mencapai penanda aras Simpanan Asas RM390,000 pada usia 60 tahun dari hampir empat kepada enam daripada setiap 10 ahli menjelang 2030.

Bagaimanapun sasaran berkenaan belum menjawab persoalan khusus yang dibawa menerusi Policy Paper KWSP Bersasar.

“PGIRM memahami kepentingan memastikan rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi tempoh persaraan yang panjang.

“Namun begitu, PGIRM ingin menjelaskan kenyataan tersebut belum merupakan jawapan khusus kepada Policy Paper KWSP Bersasar yang telah diserahkan kepada pihak kerajaan pada 11 September 2026,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Azmi, persoalan utama yang dikemukakan PGIRM ialah bagaimana pencarum yang berdepan keadaan tertentu dan keperluan kewangan semasa boleh diberikan akses secara terkawal kepada sebahagian simpanan mereka.

“Mekanisme itu perlu dirangka tanpa membuka ruang kepada pengeluaran bebas dan pada masa sama tidak mengabaikan matlamat memastikan kecukupan simpanan persaraan,” katanya.

Sehubungan itu, PGIRM mengemukakan empat prinsip utama iaitu bersasar, bersyarat, terhad dan terkawal.

“Cadangan ini bukan tuntutan supaya semua pencarum diberikan kebebasan mengeluarkan simpanan KWSP.

“Sebaliknya PGIRM meminta kerajaan menilai satu mekanisme yang mempunyai syarat, had, kategori kelayakan dan kawalan jelas, khususnya bagi pencarum yang benar-benar berdepan keadaan tertentu,” katanya.

Azmi berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 September lalu mengenai sasaran RM390,000 turut menyentuh realiti isi rumah yang perlu berdepan keperluan kewangan semasa seperti makanan, sewa dan pendidikan sebelum mampu memikirkan simpanan bagi tempoh persaraan yang masih jauh.

Katanya, perkara itu menunjukkan isu kecukupan simpanan persaraan dan tekanan kewangan semasa rakyat perlu dilihat secara seimbang.

“PGIRM tidak mempertikaikan matlamat memperkukuh simpanan persaraan. Adakah masih wajar pencarum yang benar-benar memenuhi syarat tertentu tidak mempunyai sebarang mekanisme tambahan untuk mengakses sebahagian simpanan mereka sedangkan cadangan yang dikemukakan adalah secara bersasar dan terkawal?

“Justeru, PGIRM berharap Policy Paper yang telah diserahkan kepada pihak kerajaan dapat dinilai secara khusus oleh pihak berkaitan dan diberikan maklum balas rasmi,” katanya.

Tegasnya lagi, kenyataan Perdana Menteri mengenai sasaran RM390,000 tidak wajar ditafsirkan sebagai penerimaan atau penolakan terhadap Policy Paper PGIRM kerana perkara itu tidak dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.

“PGIRM hanya meminta satu perkara supaya cadangan yang telah dikemukakan melalui Policy Paper dinilai berdasarkan mekanisme dan data, bukan semata-mata berdasarkan persepsi bahawa semua pengeluaran KWSP adalah pengeluaran bebas.

“Lima tahun menyuarakan kini cadangan sudah dikemukakan. PGIRM menunggu jawapan berdasarkan dasar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here