LONDON – Premier League secara rasmi mengumumkan Suruhanjaya Bebas telah mendapati Manchester City bersalah atas semua pelanggaran berkaitan peraturan kewangan pertandingan sepanjang tempoh sembilan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu dari musim 2009/10 hingga 2017/18.
Kelab itu turut didapati bersalah atas tiga daripada empat pertuduhan berkaitan kegagalan memberikan kerjasama dalam siasatan liga.
Menurut kenyataan rasmi yang diterbitkan Premier League di laman webnya semalam Suruhanjaya Bebas turut mendapati bahawa sepanjang tempoh tersebut, Man City telah mengadakan kontrak komersial fiktif dengan beberapa rakan niaganya yang tidak menggambarkan perjanjian sebenar antara pihak-pihak yang terlibat.
Menurut keputusan itu, pengaturan tersebut bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kelab secara artifisial serta mengurangkan kos yang dilaporkan, selain bergantung kepada beberapa perjanjian serupa yang lain.
“Manchester City mengemukakan laporan kewangan yang tidak tepat dan menyembunyikan keadaan sebenar kewangan kelab daripada juruaudit serta pihak berkuasa pengawalseliaan bola sepak.
“Kelab itu juga didapati melanggar secara ketara had perbelanjaan yang ditetapkan oleh Premier League dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA),” katanya.
Premier League turut menegaskan keputusan Man City didapati bersalah tidak bermakna hukuman telah ditentukan.
Hukuman akan dibincangkan dalam prosiding berasingan di hadapan suruhanjaya bebas di mana prosiding untuk menentukan hukuman tersebut akan dijalankan secara tertutup dan sulit mengikut peraturan liga sehingga keputusan boleh diterbitkan kepada umum.
Man City juga mempunyai hak untuk membuat rayuan terhadap keputusan Suruhanjaya Bebas dan menetapkan 2 Oktober ini sebagai tarikh akhir untuk kelab menggunakan hak tersebut. – Agensi
















