NAGOYA, Jepun – Datuk Bandar Nagoya memohon maaf kepada semua para atlet berhubung “kesulitan” yang berlaku sepanjang penganjuran Sukan Asia di bandar raya itu susulan beberapa siri aduan.
Acara sukan terbesar di benua Asia itu berdepan beberapa masalah termasuk kekurangan tempat penginapan dan isu pengangkutan.
Lebih 17,000 atlet dan pegawai mengambil bahagian, jumlah yang melebihi Sukan Olimpik, dengan beberapa negara mendakwa terdapat kelemahan dalam pengurusan pihak penganjur tempatan.
“Kami mesti memohon maaf kepada para atlet dan pihak lain yang terjejas akibat kesulitan ini.
“Kami mesti melakukan muhasabah secara ikhlas terhadap kelemahan pengurusan yang berlaku.
“Terdapat kesilapan manusia dan kekurangan komunikasi dengan pasukan kebangsaan. Kami bertindak berdasarkan apa yang telah berlaku,” kata Datuk Bandar Ichiro Hirosawa yang turut menjalankan tugas sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur tempatan.
Berbeza dengan penganjuran Sukan Asia sebelum ini, edisi kali ini tidak menyediakan perkampungan atlet sebagai langkah menjimatkan kos.
Sebaliknya, para peserta ditempatkan di unit kayu sementara, kapal persiaran dan hotel.
Beberapa pasukan mengadu mengenai kabin sementara berkenaan, termasuk mendakwa katil yang disediakan terlalu pendek.
Pada awal temasya, penganjur tempatan turut memohon maaf kepada Korea Selatan selepas lagu kebangsaan Korea Utara dimainkan secara tidak sengaja.
Masalah turut dilaporkan membabitkan perkhidmatan bas atlet apabila terdapat bas yang tidak beroperasi mengikut jadual, tidak muncul langsung atau membawa atlet ke venue yang salah.
Sebahagian atlet turut terkandas selama beberapa jam di lapangan terbang selepas tiba di Nagoya untuk menyertai temasya yang bermula pada 19 September lalu.
Sukan Asia yang berlangsung di Nagoya dan wilayah Aichi itu dijadualkan melabuhkan tirainya pada Ahad. – Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















