KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan tular di media sosial berhubung seorang remaja perempuan warga Myanmar yang dikatakan telah dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Penghantaran Pulang, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, hasil semakan mendapati individu berkenaan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen dan tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar yang dilaksanakan pada tarikh tersebut.
“Malah individu tersebut tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar melalui kapal tentera Myanmar pada 29 September 2026,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zakaria, JIM mengambil serius kebimbangan yang dibangkitkan, termasuk aspek keselamatan dan kebajikan tahanan di depot imigresen.
Katanya, meskipun JIM melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen, namun aspek kemanusiaan turut diberikan perhatian mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen, JIM turut memberikan perhatian terhadap pertimbangan kemanusiaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya.
JIM turut menegaskan, pengurusan depot imigresen bukan dilaksanakan sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada ketetapan dan piawaian antarabangsa.
“Antaranya termasuk United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules) yang menjadi antara rujukan dalam pengurusan tahanan.
“Selain itu, kawalan dalaman depot dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 serta Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.
“Semua proses berkenaan turut mengambil kira prinsip layanan berperikemanusiaan,” katanya.
Katanya lagi, JIM mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan terhadap proses dan tindakan yang sedang dilaksanakan jabatan.
“JIM menegaskan komitmennya untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang imigresen secara profesional dan berintegriti.
“Di samping itu, JIM turut akan memastikan kebajikan serta pertimbangan kemanusiaan terhadap tahanan terus diberikan perhatian sewajarnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















