Logo SME Malaysia

KUALA LUMPUR — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat sementara waktu.

SME Malaysia berkata, keputusan tersebut memberi ruang yang amat diperlukan kepada PMKS untuk menghadapi tekanan kos operasi yang semakin meningkat serta cabaran ekonomi semasa.

Persatuan itu berkata, pengecualian sementara berkenaan akan membantu PMKS mengekalkan kelangsungan operasi, melindungi peluang pekerjaan serta terus berdaya saing, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pada masa yang sama, SME Malaysia menyokong usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja dan mengalu-alukan pendekatan melalui Dasar Gaji Progresif dalam menyediakan sokongan subsidi upah, supaya peningkatan gaji dapat bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.

“Bagaimanapun, SME Malaysia berharap Kerajaan dapat memperkukuh lagi insentif kenaikan gaji dan subsidi upah di bawah Dasar Gaji Progresif, termasuk meningkatkan kadar bantuan kewangan, memperluaskan liputan serta mempermudah proses permohonan dan kelulusan.

“Mekanisme yang lebih mudah, jelas dan mudah diakses akan membolehkan lebih banyak PMKS menikmati manfaat program tersebut, seterusnya membantu mereka meningkatkan gaji pekerja secara berperingkat sambil mengurus beban kos tambahan akibat pelarasan gaji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SME Malaysia berpandangan, peningkatan gaji pekerja dan daya saing perniagaan boleh dicapai secara seiring.

Mekanisme subsidi dan insentif upah yang lebih kukuh akan memberikan ruang kepada PMKS untuk meningkatkan ganjaran pekerja, di samping terus melabur dalam peningkatan produktiviti, pendigitalan, latihan serta pembangunan kemahiran, tambahnya.

Persatuan juga menghargai keterbukaan dan kesediaan Kerajaan untuk terus mendengar pandangan komuniti PKS serta berharap dialog konstruktif antara kerajaan dan industri dapat diteruskan bagi membentuk dasar gaji yang dapat mengimbangi peningkatan pendapatan pekerja, daya saing perniagaan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Selain itu, SME Malaysia bersama Malaysia Retail Chain Association (MRCA) akan mengadakan sidang media bersama pada Jumaat ini bagi membincangkan dengan lebih lanjut isu gaji minimum serta membentangkan hasil kaji selidik yang baru dijalankan, iaitu “SMEAM Quick Business Survey: Minimum Wage Review 2026”.

Hasil kaji selidik tersebut akan memberikan gambaran lanjut mengenai tekanan kos operasi yang dihadapi oleh perniagaan, keupayaan mereka untuk menyerap sebarang pelarasan gaji minimum serta pandangan industri terhadap dasar gaji dan langkah sokongan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

SME Malaysia berharap hasil kaji selidik dan maklum balas daripda komuniti perniagaan dapat menjadi input yang berguna kepada kerajaan dalam proses semakan dan penambahbaikan dasar gaji, supaya langkah-langkah yang diperkenalkan terus mengambil kira realiti operasi perniagaan, khususnya PMKS. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here