MELAKA – Barisan Nasional (BN) Melaka masih belum membincangkan calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka, lewat malam tadi.
Pengerusinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebaliknya berkata, mesyuarat itu hanya membincangkan persiapan jentera PRN selain hanya meminta nama calon untuk dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.
“Calon belum lagi (dibincangkan), saya baru minta nama-nama calon yang boleh dipertimbangkan untuk diperhalusi. Jadi belum lagi (dibincangkan).
“Masa banyak lagi ni kan…kita duduk dulu baru berlunjur,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat malam tadi di kediaman rasminya di Seri Bendahara, Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Melaka itu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, persiapan jentera pilihan raya BN Melaka telah dilengkapkan di semua peringkat bagi menghadapi PRN akan datang.
“Kita akan melancarkan jentera-jentera pilihan raya sebelum tarikh penamaan calon di setiap Parlimen yang akan bergerak tidak lama lagi.
“BN juga tidak memandang ringan persaingan daripada parti-parti lain yang akan bertanding di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“UMNO sentiasa bersedia menghadapi seribu satu kemungkinan terutamanya menjurus kepada kekuatan kita untuk menakluki kawasan-kawasan 21 DUN yang kita memenangi dulu,” katanya. – MalaysiaGazette
















