BALAKONG – Tan Chee Teong berjanji akan meneruskan khidmatnya kepada masyarakat Balakong walaupun tewas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri itu semalam.
Kata bekas calon MCA itu, dia akan terus memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang konstruktif atau semangat membina.
“Keputusan Pilihanraya Kecil N27 Balakong telah pun diumumkan dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada calon Pakatan Harapan, Wong Siew Ki yang menang dalam PRK ini.
“Saya harap saudari Wong akan berkhidmat untuk penduduk-penduduk Balakong dengan penuh dedikasi dan sama-sama kita berusaha membina Balakong yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan dalam halaman Facebook beliau malam tadi.
Selepas 21 hari berkempen, Siew Ki telah memperolehi 22,508 undi dan menewaskan Chee Teong dengan majoriti 18,533 undi manakala Chee Teong sekadar memperolehi 3975 undi sahaja dan nyaris kehilangan wang pertaruhan RM5,000.
Chee Teong juga merakamkan penghargaan kepada semua pengundi Balakong yang telah membuang undi mereka tanpa mengambil kira calon yang mereka mengundi.
Katanya, mereka telah menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dan menegakkan semangat demokrasi.
“Saya akan terus memainkan peranan sebagai parti pembangkang yang konstruktif.
“Saya juga akan terus menyemak dan mengimbangi kerajaan supaya mereka sentiasa mendengar suara hati rakyat demi mewujudkan sistem 2 parti yang sihat,” tegasnya.-Malaysiagazette
















