Calon Pakatan Harapan N.27 Balakong, Wong Siew Ki menerima ciuman dari ayahnya, Wong Fook Keong dan ibunya, Chin Kooi Seng selepas beliau diumum menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong, Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kekalahan ‘besar’ MCA dalam Pilihan Raya Kecil Balakong semalam bukti parti itu bukan sahaja sudah tidak relevan tetapi wajar ‘tutup kedai’ sahaja, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau secara sinis dalam laman sosial hari ini meminta MCA  membubarkan parti mereka susulan daripada kekalahan besar semalam.

Menurut Kit Siang yang juga merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, apa yang menghairan beliau walaupun dengan mendapat bantuan Pas, parti tersebut hanya mendapat 15 peratus lebihan undi.

“Saya sangat terkejut dengan ‘kegembiraan’ MCA yang berjaya mendapat 15 peratus lebihan undi berbanding ketika PRU lepas setakat sembilan peratus sahaja.

“Walaupun anda mendapat bantuan daripada Pas, hanya 15 peratus? Bayangkan seandainya Pas tidak menolong, apakah calon MCA sudah hilang deposit?

“Agak menyedihkan sekali kenyataan daripada pemimpin MCA yang gembira dengan ‘peningkatan’ oleh parti itu ketika ini. Pada hemat saya, adalah lebih baik anda ‘tutup kedai’ sahaja,” tegasnya.

Kit Siang mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan peningkatan peratusan itu sebagai satu kejayaan buat parti itu selepas kekalahan besar ketika PRU-14 yang lepas.

Bagaimanapun, kenyataan itu disindir Kit Siang yang jelasnya begitu hairan dengan sasaran rendah yang diletakkan MCA terutamanya ketika menjelangnya ulang tahun ke-60 parti itu.

Semalam, calon Pakatan Harapan dari DAP Wong Siew Ki menang besar apabila meraih 22,508 undi berbanding calon MCA, Tan Chee Teong yang hanya mendapat 3,975 undi.

Namun demikian, MCA berjaya mengekalkan depositnya apabila mendapat 15 peratus daripada undi keseluruhan berbanding sembilan peratus sebelum ini.

Tambah Kit Siang, ‘kejatuhan’ MCA jika hendak dibandingkan hari-hari gemilang mereka sebelum ini merupakan satu isyarayat jelas tentang penolakan parti itu.

“Kejatuhan yang cukup besar jika hendak dibandingkan ketika MCA memiliki empat menteri, 31 anggota parlimen, 76 ADUN dan beribu ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung, kepada masa kini yang menyedihkan apabil mereka perlu berusaha untuk mempertahankan deposit.

“Apa yang lebih memeranjatkan ialah mereka juga terpaksa berharap kepada sokongan dan bantuan seperti parti Pas untuk mengekalkan deposit,” ujarnya.

Kit Siang juga memberi cadangan agar MCA terus keluar daripada komponen Barisan Nasional (BN) selain daripada memutuskan hubungan terus dengan UMNO selama-lamanya agar dapat kekal sebagai parti politik.

“Pemimpin dan anggota MCA perlu memutuskan untuk meneruskan pakatan dengan Umno dan Pas selain darpada tampil membuat reformasi selain daripada mengecam rasuah dan salahguna kuasa serta ketidakadilan ketika pentadbiran terdahulu,” katanya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast