Dr Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan pada pertemuan tertutup beliau dengan kepimpinan tertinggi Perkasa Perak, semalam.
Dr Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan pada pertemuan tertutup beliau dengan kepimpinan tertinggi Perkasa Perak, semalam.

KUALA LUMPUR – Melayu mesti bangkit jika maruah dan agamanya dicabar, tegas Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali.

Beliau menegaskan, Melayu dan umat Islam di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) hari ini akan berdepan dengan pelbagai cabaran getir kerana sudah ada pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam yang semakin berani mencabar hak ketuanan.

Katanya, Perkasa tetap dengan matlamat perjuangannya membela orang Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan, di samping mengajak seluruh ahlinya bangkit dengan lebih agresif menghadapi cabaran dengan membujur lalu melintang patah.

“Kita sekarang dan akan datang akan berdepan dengan cabaran getir sebagai orang Melayu. Kita kena sentiasa bersiap siaga mempertahankan hak dan ketuanan kita daripada diperkotak-katikkan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, semalam.

Dr Ibrahim sebelum itu menghadiri majlis pertemuan tertutup Perkasa Perak bersama kepimpinan pertubuhan itu di Pejabat Perlkasa Parlimen Parit, Bandar Sri Iskandar.

Dalam pertemuan itu, beliau memberi penjelasan dengan hala tuju Perkasa di masa akan datang untuk menghadapi cabaran getir umat Melayu akan datang.

Beliau juga turut mencadangkan Mohd Safian Sauri Pandak Abd Samad sebagai Timbalan Yang Dipertua Perkasa Perak, manakala Megat Mahmud sebagai Ketua Penerangan Perkasa yang baharu.

Perak yang mempunyai 24 kawasan Parlimen akan turun secara konvoi dengan kereta, van dan motor sambil mengibar bendera Perkasa ke himpunan membantah ICERD. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast