Proton pertama kalinya menawarkan kenderaan dari segmen SUV menerusi model Proton X70 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 23 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd (Proton) memulakan tahun ini dengan prestasi yang memberangsangkan apabila jumlah pendaftaran kenderaannya meningkat kepada 7,007 unit bagi bulan pertama tahun ini.

Jumlah mewakili kira-kira 14.5 peratus bahagian pasaran walaupun angka muktamad hanya dapat disahkan menerusi pengumuman data jualan industri oleh pihak Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Proton dalam satu kenyataan berkata, susulan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) X70 pada 12 Disember lalu, perkembangan penghantaran SUV itu turut berjalan lancar.

Selepas mencatat rekod sebagai pendaftaran SUV tertinggi di pasaran Malaysia dalam bulan pelancarannya, momentum berkenaan diteruskan pada tahun baharu dengan sejumlah 2,777 unit telah didaftarkan pada Januari 2019.

Angka itu turut meletakkan Proton X70 mencatat rekod baharu sebagai SUV segmen C yang paling banyak didaftarkan dalam tempoh sebulan.

Malah, jumlah tersebut merupakan pencapaian penting yang membolehkan Proton mencatat pertumbuhan jualan memberangsangkan.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, berbanding bulan sebelumnya, jualan meningkat sebanyak 33.6 peratus manakala bagi tahun ke tahun, angka itu memaparkan pertumbuhan 46.5 peratus berbanding Januari 2018.

Ini sekali gus menjadikan Proton sebagai peneraju dari segi pertumbuhan pasaran bagi tiga jenama automotif terkemuka.

Bagi bulan Februari, Proton berharap dapat mengekalkan momentum jualan tersebut menerusi penganjuran promosi ‘Angpau’ yang membolehkan pembeli menikmati penjimatan sehingga RM4,000 bagi jenis model kenderaan pilihan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast