KUALA LUMPUR – Perjuangan Pakatan Harapan (PH) untuk membebaskan badan-badan utama dalam kerajaan daripada campur tangan politik hanyalah ‘skrip drama samarinda’ dan slogan “suara rakyat, suara keramat” terus dikhianati.
Sokongan rakyat kepada kerajaan terus dimanipulasi untuk melakukan apa sahaja perkara, meskipun bertentangan dengan dasar dan polisi perjuangan mereka sebelum ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Sarawak (DPPNS), Kazman Noordin berkata, pelantikan Speaker Dewan Rakyat yang mencabuli aturan Parlimen, dituruti lantikan Ketua Hakim Negara yang membelakangi Majlis Raja-Raja Melayu serta disusuli penerimaan Peguam Negara yang membutakan semangat ‘Pengasingan Kuasa’ membuktikan PH jauh lebih teruk dari rejim BN.
“Setahun PH mengambil alih kuasa kerajaan telah menyaksikan siri pendustaan serta penipuan terhadap Manifesto PH yang menjadi sumber rujuk rakyat menumbangkan rejim sebelum ini.
“Langkah terkebelakang rejim PH dizahirkan lagi, apabila satu surat siaran yang menyatakan pemberhentian segera Dato’ Seri Mohd Shukri Abdull dengan diganti Ahli Majlis Tertinggi PKR ke dalam badan penguat kuasa kerajaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merosakkan semangat tidak campurtangan politik dan mengelak atau menghindari bahaya ‘kezaliman’ di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa (atau fungsi) dapat mewujud dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang antara kuasa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini,
Justeru, DPPNS mendesak penjelasan segera dari Pejabat Perdana Menteri berhubung isu ini.
Dalam masa yang sama mengajak semua parti politik, badan-badan NGO dan rakyat keseluruhan membantah agar pelantikan ini di tarik balik dan diberi kepada tokoh yang disegani dan berkaliber atau penjawat awam yang jelas bebas dari pengaruh serta penguasaan politik, supaya badan dan agensi kerajaan difungsikan tanpa menimbulkan ‘konflik kepentingan’. – MalaysiaGazette















