KUALA LUMPUR – Majoriti rakyat Malaysia mahu inisiatif yang boleh mengurangkan beban kos sara hidup, lebih peluang meningkatkan taraf hidup dan bantuan apabila dilanda musibah.
Itu harapan mereka kepada Belanjawan 2020 yang akan dibentang esok, kata satu kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
Itu hasil 12 konsultasi kumpulan fokus di pelbagai lokasi di seluruh negara bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan satu kaji selidik atas talian juga dilakukan sempena Belanjawan 2020 dengan melibatkan lebih 7,000 responden dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, peringkat umur dan lokasi.
Ia sebahagian daripada usaha pihak Kementerian Kewangan untuk melibatkan orang awam untuk memberikan pandangan dan input bagi Belanjawan 2020.
Bagi golongan belia pula, responden mendesak kerajaan memudahcarakan peluang pekerjaan TVET, menyediakan insentif untuk pelatih dan perantis untuk membina peluang menimba pengalaman bekerja, serta penambahbaikan program pembangunan kemahiran dan insan.
“Majoriti responden memilih supaya kerajaan memperbanyakkan lagi inisatif-inisiatif untuk menyokong golongan yang kurang bernasib baik, memastikan pembangunan seimbang
untuk semua negeri dan menyediakan peluang yang sama rata untuk semua tanpa mengira kaum dan kepercayaan agama untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB)
2030.
“Untuk itu, WKB mestilah berpandukan pertumbuhan ekonomi supaya dapat menjana kemakmuran untuk dikongsikan bersama,” kata kenyataan yang sama.
Kerajaan, menurutnya, telah meneliti dan mengambil perhatian terhadap maklum balas yang disampaikan rakyat menerusi kajian ini, dan juga daripada sesi libat urus yang dilakukan menjelang
Belanjawan 2020.
Pada tahun lalu, Belanjawan 2019 memperuntukkan sebanyak RM259.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM54.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.- MalaysiaGazette
















