Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas mengecam tindakan menayangkan imej Jalur Gemilang dengan lambang bintang lima bucu oleh Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dalam majlis perasmian kejohanan sukan itu, malam kelmarin.

Tindakan biadab itu adalah satu penghinaan kepada negara, yang seolah sengaja mempersendakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat serta kedaulatan negara.

Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, insiden memperlakukan lambang kedaulatan negara seperti itu sebelum ini telah beberapa kali berlaku.

“Contohnya, memasang bendera dalam keadaan terbalik. Namun, apabila memohon maaf, kes tersebut dianggap selesai seperti ianya sekadar kesilapan biasa.

“Jati diri sesebuah negara tidak hanya tertakluk kepada lambang sahaja, namun tanggungjawab warganegara adalah untuk menjaga dan mempertahankannya.

“Ia dapat diukur menerusi perhatian dan tindakan terhadap simbol-simbol negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pas menggesa tindakan tegas dikenakan kepada pihak MABA selaku pengelola majlis yang bertujuan memberi pengajaran dan amaran kepada semua rakyat supaya lebih berhati-hati dalam isu kedaulatan negara.

Terkini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid telah menetapkan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast