KUALA LUMPUR – Banjir di dua negeri Pantai Timur bertambah buruk apabila lapan sungai utama di Terengganu dan empat di Kelantan melepasi paras bahaya serta beberapa jalan raya ditutup kepada kenderaan berat.
Sehingga jam 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kedua-dua negeri itu semakin meningkat dengan Terengganu merekodkan seramai 4,797 orang dan di Kelantan pula bertambah kepada 3,149 orang.
Di Terengganu, jajahan paling teruk dinaiki air ialah Besut yang menyebabkan 1,769 orang dipindahkan ke 39 PPS, diikuti Setiu (1,411 orang/20 PPS), Hulu Terengganu (1,351 orang/27 PPS), dan Dungun (254 orang/tiga PPS).
Kelantan pula, banjir mula menenggelami tujuh jajahan iaitu Bachok, Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.
Jumlah penduduk dipindahkan ialah Pasir Mas seramai 1,266 orang di 17 PPS, Kota Bharu (833 orang/tujuh PPS), Pasir Puteh (372 orang/enam PPS), Machang (220 orang/enam PPS), Tanah Merah (206 orang/enam PPS), Bachok seramai 172 orang di dua PPS dan Kuala Krai (80 orang/limaPPS).
Menurut laporan InfoBanjir kedua-dua negeri, lapan sungai utama di Terengganu yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak 35.20 meter (bahaya 35 meter), Sungai Besut di Kampung La 23.36 meter (21.80 meter), Sungai Setiu di Kampung Besut 17.63 meter (17.50 meter), Jambatan Permaisuri 9.24 meter (8.80 meter), Sungai Chalok di Jambatan Chalok 8.56 meter (8.40 meter).
Turut melepasi paras bahaya, Sungai Nerus di Kampung Langkap 22.53 meter (amaran 21 meter), Sungai Nerus di Kampung Bukit 14.84 meter (13.20 meter), dan Sungai Telemong di Kuala Ping 21.21 meter (19.70 meter).
Di Kelantan, empat sungai utama melepasi paras bahaya ialah Sungai Kelantan di Kuala Krai pada bacaan 25.19 meter (amaran 25 meter), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 16.02 meter (16 meter), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah 24.32 meter (23.50 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas 10.42 meter (9 meter). – MalaysiaGazette
















