KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil inisitif menerusi pementasan teater muzikal untuk mendidik orang ramai termasuk penjawat awam mengenai kesalahan rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, teater “Semarak Pertiwiku” itu dipentaskan pertama kali di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di Kuching, Sarawak pada 12 hingga 14 Julai lalu.
Jelas beliau, pengisian teater muzikal itu diyakini akan memberi aspirasi kepada lapisan masyarakat dan penjawat awam supaya lebih berintergriti tinggi, di samping menyemai semangat patriotisme, selain mewujudkan kehidupan yang maju, aman dan sejahtera.
“Tahun 2020 ini disambut dengan bersemangat oleh SPRM apabila projek yang dilaksanakan pada tahun lalu bakal dilanjutkan lagi tahun ini iaitu pada 30 dan 31 Januari ini.
“Pementasan yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Istana Budaya dan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ini mengangkat integriti sebagai subjek utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SPRM bersama Istana Budaya berhubung penganjuran teater Semarak Pertiwiku di Selasar Pualam di Istana Budaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaari; Pengarah Projek, Abdul Walid Ali dan beberapa pelakun iaitu Ungku Ismail Aziz, Anding Indrawani Zaini dan Taufik Hanafi.
Menurut Latheefa, pendekatan SPRM mendekati masyarakat melalui seni telah lama dilaksanakan dan pada Oktober 2017 pihaknya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Aswara telah mementaskan naskhah bertajuk “Bahara Emas”.
Kata beliau, melalui pementasan teater muzikal itu, mesej disampaikan penonton mengenai bahana ketamakan yang membawa kepada rasuah dan keruntuhan sebuah kerajaan.
“Semarak Pertiwiku ini akan masih menggunakan dialek Sarawak walaupun dipentaskan di Kuala Lumpur, kerana kami ingin mengekalkan keaslian persembahan dan disebabkan mesejnya yang kuat,” katanya.
Teater tu mengisahkan kerakusan sebahagian kontraktor mengejar habuan untuk mengumpul kekayaan dan kerana itu tercetus skandal rasuah di sebalik rahsia perolehan sebuah projek mega.
Kata Latheefa lagi, inilah antara sumbangan SPRM kepada rakyat Malaysia cintakan kehidupan yang bersih dan bebas rasuah.
“Semarak Pertiwiku selaras hasrat kerajaan untuk membanteras gejala rasuah. Ia juga sebuah teater bertemakan integriti dan usaha cukup baik untuk mendidikan masyarakat mengenai rasuah khususnya dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang berminat menonton teater muzikal itu boleh menghubungi Kumaran di talian 03-8891 1501, Adib Azami (03-8891 1468) dan Saiful Azmi (03-8891 1471) untuk tempahan tiket percuma yang disediakan sebanyak 2,000 keping sahaja. – MalaysiaGazette
















