KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula keseluruhan hal ehwal dan perkembangan industri penerbangan Malaysia selepas peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Airport Holding Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin.
Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor berkata, penilaian kembali itu sebagai antara pembolehubah pertumbuhan ekonomi yang penting kepada sesebuah negara.
Dan katanya, ini kerana industri penerbangan adalah pemangkin yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi.
Berkaitan dengan itu, beliau berpandangan pengurus baharu MAHB nanti dan juga kerajaan perlu mengkaji keperluan untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau membina lapangan terbang baharu.
“Lapangan terbang adalah elemen penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah negara dan seterusnya mengekalkan daya saing negara tersebut.
“Oleh itu, untuk Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau dan global, kemudahan lapangan terbang yang cekap dan kompetitif amat diperlukan.
“Melihat kepada suasana semasa KLIA dan saingan pada peringkat serantau dan agar Malaysia kekal kompetitif, KLIA perlu dibangun semula atau dibina lapangan terbang baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Mazli, sebagai perspektif KLIA yang dibuka tahun 1998, sekarang ini mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 75 juta penumpang setahun.
Kata beliau, pada tahun 2018, KLIA mengendalikan hampir 60 juta penumpang dengan kadar pertumbuhan lebih dua peratus setahun.
“Penambahan yang dibuat kepada KLIA hanya pembangunan KLIA2 yang merupakan terminal khusus untuk penerbangan tambang murah.
“Namun, bagi terminal utama yang menghubungkan Malaysia kepada dunia, tiada penambahan dan pembangunan baharu dibuat,” katanya.
Beliau menjelaskan, sebagai perbandingan di peringkat serantau, Lapangan Terbang Changi Singapura yang dibuka tahun 1981 sekarang mengendalikan lebih 65 juta penumpang setahun.
Katanya, sepanjang tempoh kewujudannya, Changi telah melalui lima fasa pembangunan semula iaitu Terminal 2 dalam tahun 1990, Terminal 3 (2008), Terminal 4 (2017) dan terkini pembukaan tarikan terbaharu iaitu Jewel Changi Airport.
“Changi juga telahpun menetapkan sasaran untuk Terminal 5 dalam pertengahan tahun 2030-an.
“Sementara untuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok yang dibuka pada 2006, mengendalikan lebih 63 juta penumpang setahun.
“Bagaimanapun, lapangan terbang negara itu telah memulakan projek pembesaran dalam tahun 2016 dan akan siap tahun 2021. Seterusnya adalah sasaran untuk pembesaran selanjutnya untuk meningkatkan kapasiti sehingga 125 juta penumpang setahun,” katanya.
Begitu juga, Lapangan Terbang Chek Lap Kok, Hong Kong yang dibuka tahun 1998, mengendalikan lebih 74 juta penumpang setahun dan melakukan pembesaran yang siap dalam tahun 2015 dengan fasa seterusnya akan siap dalam tahun 2020 ini.
KLIA, ujarnya, nampak sudah ketinggalan dalam persaingan serantau.
Justeru, sebagai pembolehubah penting dalam pertumbuhan ekonomi, untuk kekal bersaing di peringkat serantau dan dunia, Malaysia perlu melakukan sesuatu bagi mengekalkan daya saing KLIA sebagai menyokong pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette
















