Hasnita berkata, Mara tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan dan pelaburan. (Gambar Twitter MARA)

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) boleh menutup bahagian perniagaannya, untuk memberi tumpuan kepada pendidikan, dengan syarat perlu memberi jaminan strategi untuk mewujudkan dana endowmen yang lebih mantap dan mampan.

Jika MARA hanya mengharapkan peruntukan dana dari kerajaan, lebih baik hentikan cita-cita untuk menutup bahagian perniagaan dan pelaburan agensi itu.

Ini ditegaskan Ketua Biro Ekonomi Pergerakan Wira Putra Malaysia, Ashraf Rosli sambil berkata, jika MARA gagal dengan syarat itu, pihaknya akan menentang habis-habisan cadangan berkenaan.

“MARA telah lama mewujudkan pusat pendidikan dan latihan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Giat Mara dan banyak lagi.

“Dalam bidang perniagaan pula tidak sedikit MARA membantu meningkatkan ekonomi orang Melayu dan tidak ada masalah untuk agensi itu meneruskan matlamatnya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi MARA, Hasnita Hashim yang dalam kenyataannya Rabu lalu, membayangkan agensi Bumiputera itu akan menutup kegiatan dagangannya.

Beliau juga dilaporkan berkata, MARA tidak tidak sepatutnya melabur dalam perniagaan dan kerajaan tidak pernah memperuntukan dana untuk berbuat demikian kepadanya.

Kata Ashraf, sebagai pengerusi, Hasnita sepatutnya memikirkan strategi dan penyelesaian dinamik kepada aktiviti berkaitan perniagaan untuk meningkatkan keuntungan, bukan mengambil jalan mudah menutupnya.

Beliau menegaskan, pengurusan MARA mesti kritis dan kreatif untuk meningkatkan hasil keuntungan bagi aktiviti pelaburan dan perniagaannya bagi  mengurangkan kebergantungan peruntukan dari kerajaan untuk menampung dana latihan dan pendidikan.

“Dengan keuntungan diperolehi melalui pelaburan ini, pendidikan dan latihan dapat dimajukan dengan lebih mantap mengikut keperluan semasa.

“Dengan ini orang Melayu dapat meningkatkan taraf pendidikan dengan melahirkan lebih ramai golongan profesional, di samping meningkatkan taraf sosioekonomi mereka untuk memacu Malaysia ke negara maju,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast