Wan Hassan Mohd Ramli

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta tidak menjadikan polemik berpanjang mengenai surat pekeliling Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung hukum masyarakat Islam meraikan perayaan Pesta Ponggal.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, mereka tidak boleh membuat penilaian sendiri mengenai garis panduan yang diselia oleh institusi agama Islam.

Bahkan, kata beliau, garis panduan dan syarat itu perlu dilihat sebagai suatu bentuk asas untuk mengukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum di negara ini.

“Cuma perlu difahami ada perkara teras terkandung dalam ajaran Islam yang mesti dipatuhi oleh masyarakat Islam.

“Maka, pekeliling itu adalah sebagai garis panduan kepada masyarakat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh merosakkan akidah kepercayaannya sebagai muslim,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jakim dalam kenyataannya semalam memberitahu, pihak hanya memberi pandangan dari sudut penglibatan orang Islam sama sekali tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan.

Dalam kenyataan satu muka surat itu, Jakim dilaporkan berkata, Panel Pakar Syariah Jakim berpandangan adalah harus untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran yang menyambut perayaan tersebut tanpa niat mengiktiraf agama mereka dan tidak boleh memaki, mencaci serta menghina tuhan agama lain.

Namun begitu, Wan Hassan berharap, sebarang ucapara dan pemakaian mahupun simbol mempunyai perlambangan agama dalam sebarang sambutan perayaan berlainan agama perlu dielakkan.

Sewajarnya, ujar beliau, pekeliling yang dikeluarkan Jakim mahupun pandangan yang turut dilontarkan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dihormati dan diterima semua pihak tanpa memanjangkan polemik yang tidak perlu.

“Malah, saya turut menggesa sesetengah pihak tidak mengeluarkan kenyataan negatif terhadap ketetapan yang terkandung dalam ajaran Islam kerana pandangan serong menjadi punca dalam merungkai asas perpaduan dalam negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Buat kat sek jenis kbgsaan tamil je dah lah…yg sibuk nk buat kt sek keb ni apa pasal! Bodoh

Comments are closed.