PUTRAJAYA – Kerajaan akan membuat keputusan sama ada solat Jumaat boleh diteruskan atau sebaliknya dalam tempoh terdekat ini.
Ini kerana, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kesihatan.
Katanya, walaupun Kementerian Kesihatan menyarankan agar program keagamaan ditunda dan beliau bersetuju dengan saranan itu, tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi.
“Saya setuju, tetapi perkara itu kita perlu perhalusi sedikit sahaja (lagi)..dalam beberapa satu dua hari lagi ataupun dalam beberapa jam, untuk kita bincang dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis tahnik di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.
Lebih 40 bayi ditahnik oleh Dr. Zulkifli, yang menjadi acara mingguan beliau setiap tahun di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Ditanya berhubung kenyataan itu yang bererti solat Jumaat masih diteruskan, beliau berkata, jawapan secara rasminya mungkin dalam dua tiga jam lagi.
Artikel berkaitan: Raja Perlis titah solat Jumaat hari ini diganti dengan solat zohor di rumah
Mengenai keputusan dikeluarkan Mufti Perlis menegah jemaah tabligh yang terlibat dalam program ijtimak di Masjid Seri Petaling hadir ke masjid di negeri itu, Dr. Zulkifli menjelaskan, beliau faham (dengan keputusan itu).
Katanya, beliau juga telah bertemu dengan Kementerian Kesihatan semalam dan akan berbincang sekali lagi dalam masa terdekat ini berhubung wabak Covid-19.
Dr. Zulkifli juga menyatakan, beliau tidak mahu berlumba membuat kenyataan mengenai wabak itu kerana bimbang akan bercanggah antara satu sama lain.
“Kita nak harmonikan, kita nak ambil satu pandangan yang tuntas, yang sesuai, yang menjaga keadaan keseluruhan, suasana, kewajiban agama dan juga apa yang sedang kita hadapi ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















