Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 25 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 73 anggotanya dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes atau 64.4 peratus adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh.

“Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif Covid-19,” katanya dalam sidang media di pejabat KKM hari ini.

Noor Hisham berkata seramai 1,895 anggota kesihatan yang menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, di mana 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

Dalam pada itu, kesemua petugas barisan hadapan memaklumkan ketua jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta di beberapa majlis di Putrajaya dan Bangi.

Majlis berkenaan adalah program Ijtimak di Seri Petaling, satu majlis perkahwinan pada 6 Mac di Bangi dan majlis resepsi perkahwinan pada 7 Mac di Putrajaya.

Kesemua majlis ini dihadiri oleh anggota kesihatan KKM. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast