KUALA LUMPUR – Kerajaan mewujudkan talian khas khusus untuk membantu mangsa dalam kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menangani kes itu, Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) dengan kerjasama polis akan mengendalikan talian berkenaan.

“Memandangkan rakyat berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan mengambil maklum timbulnya isu yang mungkin menjejaskan keharmonian rumahtangga.

“Dalam usaha menangani kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak, KWK dengan kerjasama polis mewujudkan talian khas bagi membantu mangsa,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, bagi mereka yang memerlukan bantuan diminta menghubungi Talian Kasih 15999 atau whatsapp 019-261 5999 dan polis akan mengambil tindakan segera.

Mengenai bantuan bekalan makanan, beliau menjelaskan, sepanjang tempoh PKP, penyaluran bantuan dalam bentuk bakul makanan telah disalurkan kepada seramai 225,871 isi rumah.

Katanya, jumlah bantuan itu memberi manfaat kepada hampir satu juta rakyat negara ini dan prose bantuan masih diteruskan oleh kerajaan.

Untuk penduduk Sungai Lui yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebanyak 1,000 bakul makanan telah dihantar kepada 750 keluarga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast