KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas penyebaran berita palsu, tegas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata, tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Komunikasi dan Multimedia (Akta SKMM 1998).
“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas kerana berita palsu itu boleh membuatkan masyarakat keliru dan percubaan untuk memburuk-burukkan tindakan kerajaan atau penguatkuasa,” katanya menerusi ciapan Twitternya, hari ini.
Beliau mengulas berita palsu yang dimuat naik individu tidak bertanggungjawab dalam media sosial, mempersoalkan menu makanan tidak berkualiti disediakan Universiti Sains Malaysia (USM) kepada pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Individu berkenaan memaparkan gambar menu makanan yang dikatakan disediakan USM tidak berkualiti untuk dimakan oleh pelajar yang terkandas di kampus akibat penularan wabak Covid-19.
USM dalam jawapannya, memandang serius berita itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebar berita palsu dalam mana-mana platform media sosial dan sebagainya.
Univerisiti berkenaan turut menyedari dan memandang serius penghinaan pelajar melalui media sosial yang mengatakan makanan diberikan tidak berkualiti.
Pada masa sama, warganet terutama kalangan penuntut memberi maklum balas, menafikan perkara itu kerana USM tidak lagi menggunakan bekas polisterina sejak beberapa tahun lalu.
Malah, gambar makanan yang dimuat naik individu terbabit juga didakwa bukan foto asli, sebaliknya diambil dari carian imej di internet. – MalaysiaGazette

















Tak bersyukurlah tu..cari sampa jumpa