KUALA LUMPUR – Seramai 16,000 ‘asnaf segera’ yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memohon bantuan dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerusi Bantuan Zakat Kecemasan #Covid-19.
Bagaimanapun menurut Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Abd Kadir, hanya 8,000 yang layak selepas proses saringan dilakukan.
“Jadi saya nak maklumkan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kita prihatin dalam usaha bukan sahaja setakat semua yang terlibat dari segi asnaf tetapi juga kita ada buat satu tabung kecemasan dinamakan meletakkan 10 hotline untuk bantu asnaf segera yang hidupnya kais pagi makan pagi, tiada simpanan.
“Mereka boleh telefon hotline kita dan kita akan interview jika layak tidak tunggu lagi kita bekalkan bantuan kewangan,” katanya kepada pemberita.
Kesemua ‘asnaf segera’ ini jelas beliau adalah orang awam yang tidak tersenarai dalam golongan asnaf di bawah MAIWP sebelum ini namun kini memerlukan akibat kekangan kewangan selepas PKP.
Menerusi program Bantuan Zakat Kecemasan ini, RM3 juta diperuntukkan untuk memberikan bantuan dengan segera.
MAIWP ujar Syed Hussein akan mempertimbangkan menambah RM2 juta lagi peruntukan untuk Bantuan Zakat Kecemasan fasa kedua, sekiranya jumlah asnaf segera masih tinggi dan jika PKP dilanjutkan.
“Kalau tambah PKP lagi kita akan lihat lagilah bagaimana nak bantu asnaf segera ini. Ia tidak termasuk dalam golongan asnaf yang ada dalam senarai kita,” ujar beliau.
Bantuan Zakat Kecemasan yang bermula pada 20 Mac sehingga 31 Mac 2020 adalah di bawah misi Musaadah Covid-19 yang digerakkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan MAIWP menerusi Dana Zakat MAIWP RM40.01 juta untuk membantu mereka yang terjejas pendapatan dan pihak yang memerlukan sepanjang tempoh PKP. -MalaysiaGazette
















