Foto Mei 2019 ketika suspek utama warga Nigeria dibawa masuk ke mahkamah bagi pertuduhan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 27 MEI 2019.

SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, Mei tahun lepas.

Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Gilbert dituduh membunuh Siti Kharina di satu unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara pukul 12.41 pagi 9 Mei 2019 hingga 2.30 petang, 15 Mei tahun sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hazizah Kassim.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan prosiding perbicaraan dijalankan pada 1, 2, 3, 15, 21 dan 22 September depan.

Pada 16 Mei tahun lepas, media melaporkan penemuan mayat Siti Kharina selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat darah mengalir keluar daripada unit kondominium berkenaan.

Mayat ketua jururawat itu ditemukan terbaring dalam keadaan tidak berpakaian lengkap selain terdapat kesan kelar pada dada, leher serta kepala mangsa dan polis percaya Siti Kharina dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan fizikalnya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast