SHAH ALAM – Penduduk perumahan di Jalan Plumbum di sini resah mengenangkan laluan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang begitu dekat dengan rumah milik mereka.
Penduduk juga mendakwa laluan tersebut telah menyebabkan pagar kawasan perumahan milik mereka telah dirobohkan bagi memberi laluan projek tersebut.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Plumbum 7/101 dan 7/103, Prof. Azmi Ibrahim, di atas kertas pelan laluan tersebut kelihatan sempurna dan tidak memberi kesan fizikal kepada kawasan perumahan mereka namun sebaliknya ia kini membimbangkan penduduk.
“Bila laluan ini diwujudkan, pihak pemaju telah mengambil tindakan merobohkan pagar kami dan taman permainan anak-anak kami ditutup sementara menunggu projek siap.
“Apa yang kami persoalkan apabila siap laluan ini nanti adakah taman permainan yang ditutup ini wajar beroperasi semula. Bukankah ia merbahaya jika ada objek terjatuh daripada tren, sekarang pun taman permainan sementara atau baharu diwujudkan di hujung kawasan perumahan ini,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Azmi berkata, pihaknya telah merayu kepada pelbagai pihak termasuk pemilik projek Prasarana Berhad, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik bagi meminda pelan laluan jauh daripada kawasan perumahan mereka.
Jelasnya lagi, setakat ini tiada penyelesaian konkrit untuk laluan LRT 3 tersebut diubah oleh pihak berkepentingan.
Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, pihaknya berasa simpati dengan masalah yang dihadapi penduduk kelak bila laluan tersebut siap.
“Semasa saya mencadangkan projek ini kepada Kerajaan, saya tidak menyangka masalah ini akan timbul. Perubahan Kerajaan pusat dari Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihanraya Umum (PRU) ke 14 menyebabkan saya kurang arif masalah ini.
“Kita akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini dengan cara berhubung dengan pihak pemaju projek,”katanya.
Tinjauan pihak media mendapati taman permainan yang menjadi tapak projek sedang dibina semula di luar kawasan perumahan.
Menurut seorang penduduk yang enggan dikenali, beliau bimbang kerana taman permainan tersebut mendedahkan anak-anak kepada orang luar yang lalu lalang di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette
















