Paul Scholes.

LONDON – Legenda Manchester United, Paul Scholes yang merupakan pemilik bersama kelab yang bersaing di Liga Divisyen Empat England atau League Two, Salford telah dilantik sebagai pengurus sementara pasukan tersebut.

Salford sebelum ini telah memecat pengurus, Graham Alexander walaupun kelab itu masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam saingan liga musim 2020/21 hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri setakat ini.

Sembilan mata yang dicatatkan selepas mengharungi lima perlawanan liga itu juga telah meletakkan Salford City di kedudukan kelima liga liga.

Keadaan itu jelas mengejutkan banyak pihak selepas Alexander sebelum ini berjaya membawa Salford City layak ke League Two 2019/20 serta turut ke perlawanan akhir Leasing.com Trophy pada musim tersebut.

Perlawanan terakhir dikendalikan oleh Alexander adalah pada 10 Oktober lalu di mana Salford yang satu ketika mendahului Tranmere Rovers 2-0 terpaksa menelan kepahitan apabila lawan tersebut bangkit di lewat permainan untuk mengikat kedudukan.

”Kelab Bola Sepak Salford City mengumumkan bahawa pengurus, Graham Alexander telah meninggalkan kelab dengan serta-merta,” kata satu kenyataan kelab itu.

Sementara itu, Salford merupakan kelab yang sahamnya dimiliki Paul Scholes bersama-sama Gary Neville, Phillip Neville, Nicky Butt, Ryan Giggs dan David Beckham. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast