KUALA LUMPUR – Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bermula 10 pagi ini diadakan dalam keadaan norma baharu dan terikat pematuhan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat ekoran Covid-19.
Semua ahli dan petugas Parlimen dikehendaki mematuhi SOP bagi mencegah Covid-19 termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Malah kesemua mereka diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 yang dibuat di Bangunan Parlimen kira-kira seminggu sebelum sidang bermula.
Sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari dengan Menteri Kewangan, SenatorĀ Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan 2021 Jumaat ini.
Sidang bermula dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun turut memberi peringatan kepada semua wakil rakyat supaya sentiasa mematuhi segala garis panduan Covid-19.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, hampir majoriti soalan dalam turutan awal pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah berkenaan Covid-19.
Bernama juga melaporkan dalam isu pilihan raya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (UMNO-Padang Terap) mengenai sama ada kerajaan bercadang meminda Perlembagaan atau mewujudkan rang undang-undang khusus bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan dalam tempoh pandemik.
Muhyiddin turut dijadual menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) yang ingin tahu sejauh mana impak ekonomi Covid-19 terhadap individu, isi rumah dan syarikat perniagaan selain dasar dan langkah kerajaan dalam memacu ekonomi ke arah berdaya tahan. – MalaysiaGazette
















