Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menunjukkan laporan polis isu Kartel Daging Haram di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 28 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan mendedahkan senarai pemegang permit import (AP) daging sejuk beku yang disyaki terlibat dalam sindiket kartel daging haram ke negara ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya tidak mahu kerajaan melindungi mana-mana pihak termasuk orang kenamaan yang menjadi dalang sindiket ini yang beroeprasi sejak 40 tahun lalu.

“Kami mendesak didedahkan nama-nama syarikat dan individu-individu yang disyaki terbabit, kita tak mahu ada sebarang unsur untuk melindungi.

“Kalau ada orang kenamaan sekalipun dedahkan kerana ini soal kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu Asyraf Wajdi bersama Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan polis berhubung pendedahan media berkaitan kegiatan kartel penyeludupan daging import haram yang diragui status halalnya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi juga mendesak kerajaan menarik balik lesen perniagaan syarikat terbabit bagi menghalang jenayah itu berterusan.

“Kita mahu supaya bekalan daging yang melibatkan syarikat yang sedang di siasatan ini ditarik balik lesen, terutamanya dalam tempoh dua minggu ini.

“Ia bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya umat Islam tak rasa ragu-ragu kepada bekalan daging-daging import yang ada di pasaran,” katanya.

Pihaknya turut mendesak siasatan segera secara bersepadu dilakukan pihak berkuasa sebelum dihadapkan ke mahkamah.

“Melalui pasukan khas, melibatkan PDRM dan SPRM bagi mendakwa dan mendedahkan individu-individu dan syarikat-syarikat yang terlibat dan disyaki dalam penyelewengan rasuah.

“Pemuda UMNO juga menuntut agar siasatan secara telus dan pantas dilakukan agar keyakinan dan kepercayaan rakyat antarabangsa terhadap logo halal Malaysia segera dipulihkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast