Polis mengepung tengah bandar Moscow susulan protes besar-besaran penahanan Alexei Navalny. foto Reuters

MOSCOW – Lebih 5,000 orang yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan untuk menuntut pembebasan pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Alexei Navalny telah ditahan.

Susulan tunjuk perasaan itu, polis terpaksa menutup stesen metro dan menyekat kemasukan ke pusat bandar.

Navalny dipenjara sekembalinya ke Rusia setelah pulih daripada cubaan membunuhnya dengan agen saraf.

Pemimpin pembangkang itu mendakwa serangan agen saraf itu dilakukan oleh perkhidmatan keselamatan Rusia tetapi dinafikan oleh Kremlin.

Dia ditahan sebaik sahaja tiba di Moscow dari Jerman, selepas mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih selepas diserang agen saraf.

Pihak berkuasa Rusia mengatakan Navalny seharusnya melaporkan kepada polis secara berkala kerana hukuman kes menyalahgunakan dana sumbangan telah ditangguhkan.

Navalny mengecam penahanannya sebagai “terang-terangan tidak sah”, dengan mengatakan pihak berkuasa telah membenarkannya pergi ke Berlin untuk mendapatkan rawatan keracunan Novichok, yang terjadi di Rusia pada Ogos lalu.

Navalny telah menyalahkan ejen keselamatan negara di bawah perintah Presiden Vladimir Putin atas cubaan mengorbankan hidupnya dan wartawan penyiasat pula mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh ejen FSB Rusia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast