NEW DELHI – Lebih daripada separuh 20 juta penduduk New Delhi mungkin telah dijangkiti dengan koronavirus, menurut tinjauan serologi kerajaan.
India telah melaporkan 10.8 juta jangkitan Covid-19, kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.
Tetapi tinjauan yang dilakukan berdasarkan kira-kira 28,000 sampel menunjukkan angka sebenar dalam kalangan 1.35 bilion penduduknya jauh lebih tinggi.
“Dalam tinjauan sero kelima yang dilakukan di ibu kota New Delhi, antibodi (koronavirus) telah dikesan dalam 56.13% populasi penduduk kota itu,” kata Menteri Kesihatan, Satyendar Jain di Twitter setelah laporan kajian itu diterbitkan.
Ujian berasingan yang dilakukan ke atas lebih 700,000 orang di seluruh India oleh sebuah syarikat diagnostik Thyrocare Technologies menunjukkan 55% penduduk mungkin sudah dijangkiti.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengunjurkan sekurang-kurangnya 60% hingga 70% populasi perlu mempunyai kekebalan untuk memutuskan rantai penularan, walaupun pegawai kesihatan India berkata, tahap yang lebih rendah juga dapat memperlambat penyebaran virus.
Secara keseluruhannya seramai 154,486 kes kematian Covid-19 dilaporkan – jumlah kematian negara yang rendah.
Salah satu faktornya ialah usia purata yang rendah, kata pakar perubatan.
Dua negeri mempunyai populasi agak tua – Kerala dengan 3,459 kes dan Maharashtra dengan 1,948 – kini menyumbang hampir 70% jangkitan baharu.
India telah melakukan vaksin ke atas hampir 4 juta orang sejak pertengahan Januari dan mensasar untuk menyuntik lebih 300 juta orang penduduk pada bulan Ogos. – MalaysiaGazette
















