Mohd Khairul Hanis dibawa anggota SPRM untuk menjalani hukuman penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

SHAH ALAM – Bekas juruteknik sebuah syarikat swasta di Kuala Langat mengaku bersalah atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah kira-kira tiga tahun lalu.

Mohd Khairul Hanis Mohd Fauzi membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, tengah hari tadi.

Beliau kemudian dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda sebanyak RM51,850, tetapi jika gagal membayarnya, hukuman penjara boleh ditambah 17 bulan lagi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun, meminta denda yang dikenakan itu dikurangkan kerana perlu menyara isteri dan dua anak serta ibunya, sedangkan beliau sudah kehilangan pekerjaan dan kini bekerja sebagai pemandu sambilan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Khairul Hanis dituduh cuba memanipulasikan keputusan ujian cerucuk dan menerima rasuah bagi projek pembinaan bangunan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) tiga tahun lalu.

Menurut Hakim Rozilah, perbuatan tertuduh sangat serius kerana sebarang kelulusan ujian cerucuk adalah penting dalam memastikan sesebuah bangunan itu selamat atau sebaliknya.

Malah, tertuduh juga didakwa menerima rasuah sebanyak RM6,170 daripada seorang lelaki yang merupakan pengurus projek sebuah syarikat.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk Mohd Khairul meluluskan ujian cerucuk bagi projek cadangan membina dan menyiapkan bangunan pejabat sembilan tingkat, sebuah pondok pengawal satu tingkat, sebuah pencawang elektrik tangki air luaran dan ruang pam Air, sebuah Loji Rawatan Kumbahan di Seksyen 3, Bandar Banting, Kuala Langat.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24 akta yang sama memperuntukan penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda lima kali ganda atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh kemudian dibawa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum dihantar ke Penjara Kajang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast