Fuziah Salleh

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya tidak meneruskan proses konsultasi awam berkaitan kajian impak alam sekitar ke atas tapak pelupusan kekal sisa buangan radioaktif Lynas (PDF) selagi kawasan itu belum bertukar status.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, ini kerana Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) bernilai warisan tahap satu itu sedang dipamerkan kepada awam.

Kata beliau, tapak itu pula sebahagian kawasan dalam hutan simpan kekal Bukit Kuantan yang dikenalpasti sebagai tapak pelupusan sisa industri berjadual pelbagai kategori dan dilaporkan sedang disisihkan dari kawasan hutan simpan kekal itu.

“Namun, dapatan dari kajian saya mendapati kawasan yang dikenalpasti ini bukan setakat kawasan hutan simpan kekal, tetapi fakta yang lebih merisaukan ialah ianya merupakan kawasan sensitif alam sekitar bernilai warisan tahap satu.

“Kawasan seperti ini tidak boleh dibangunkan sekiranya berpandukan kepada garis panduan ditetapkan Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa.

“Saya ingin tegaskan, proses konsultasi dan pendengaran awam EIA Lynas ini adalah songsang serta salah dari segi proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, status tapak itu seharusnya diubah terlebih dahulu, tetapi telah diwartakan sebagai KSAS bernilai warisan tahap 1 yang bermaksud kawasan itu tidak boleh ada aktiviti pembalakan, perlombongan, mahupun pertanian.

Katanya, mengubah status KSAS itu melibatkan proses konsultasi dan pendengaran awam di jalankan, apatah lagi telah termaktub dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2035, yang sekaligus merupakan bukti bahawa Majlis Perbandaran Kuantan mematuhi garis panduan Rancangan Fizikal Negara.

Menurut Fuziah, jika status KSAS itu berjaya ditukar melalui proses konsultasi dan pendengaran awam, barulah kajian impak alam sekitar boleh dijalankan ke atas tapak pelupusan kekal sisa industri berjadual pelbagai kategori pula.

“Prosedur ini mengambil kira proses undang-undang berdasarkan yang termaktub dalam pelbagai akta yang digunapakai di Malaysia.

“Dalam keadaan di mana Majlis Perbandaran Kuantan di ambang pemahsyuran menjadi Majlis Bandaraya Kuantan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi peringatan tegas, supaya jangan tersilap langkah dalam isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Maklong yg kena radiasi radioaktif kilang lynas ni bila jadi pembangkang baru la bercakap pasal lynas. Masa jadi kerajaan senyap sepi. Hancinggg jgk..

Comments are closed.