KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memfailkan saman terhadap Anina Saadudin atas dakwaan menyiarkan kata-kata fitnah menerusi akaun Facebooknya.
Ismail Sabri memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi ke atas bekas Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menuduhnya tidak kompeten dalam menjalankan tugas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bernama melaporkan, saman itu difailkan menteri berkenaan selaku plaintif menerusi Tetuan Kesavan pada 5 Mac lalu dengan menamakan Anina selaku defendan tunggal.
Dalam penyataan tuntutan itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mendakwa Anina telah menerbitkan 13 kata-kata fitnah terhadapnya, selain memuat naik video dalam Facebook miliknya, dengan mendakwa menteri itu tidak kompeten dalam menjalankan tugasnya ketika melaksanakan peraturan-peraturan ketat untuk memerangi penyebaran Covid-19 menerusi PKP.
Menurut plaintif, 13 penyiaran kata-kata fitnah itu turut dikongsi oleh pengguna laman sosial.
Kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif adalah ‘boneka’ yang semata-mata melaksanakan perintah perdana menteri, tidak cekap dan kompeten dalam kerjayanya.
Berikutan itu, laporan polis telah dibuat terhadap defendan dan siasatan pihak berkuasa dimulakan terhadap siaran fitnah itu, namun defendan tidak mengendahkan perkara berkenaan.
Menurut beliau, akibat kata-kata fitnah itu, reputasinya turut terjejas dan siaran fitnah yang dibuat oleh defendan adalah berniat jahat untuk mencederakan dan menjatuhkan nama baik serta imej plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain difikirakan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memfailkan permohonan secara ex parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi memaksa defendan dengan serta-merta memadamkan kesemua penyiaran fitnah mengenai plaintif di akaun Facebook defendan dan injunksi bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada membuat penyataan fitnah menerusi media sosial yang diuruskan oleh defendan.
Ahli Parlimen Bera itu memfailkan permohonan berkenaan atas alasan defendan secara berterusan sejak awal Februari lalu menyiarkan beberapa kata-kata fitnah terhadap plaintif, yang tidak benar.
Plaintif mendakwa walaupun laporan polis telah dibuat, defendan masih tidak menyesal dan terus menyiarkan 12 kata-kata fitnah terhadapnya pada 13, 17, 18, 19 dan 23 Februari lalu, menyebabkan surat tuntutan bertarikh 24 Februari dihantar, antara lain memohon supaya defendan dengan serta merta memadamkan siaran fitnah itu.
Permohonan perintah injunksi itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril hari ini. – MalaysiaGazette
















