Nurhafizah Jamalludin

KUALA LUMPUR – Walaupun kerajaan mengumumkan SOP lebih ketat bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.01) Sabtu lalu, ia dilihat tidak menunjukkan usaha dan komitmen sepenuhnya dalam mengurangkan angka kes Covid-19 dari terus menurun.

Malah, menurut Naib Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia, Nurhafizah Jamalludin, angka dari sehari ke sehari semakin bertambah, sekali gus menunjukkan kerajaan belum serius hendak menyelamatkan nyawa rakyat.

Beliau berkata, Infografik Sekatan Tambahan PKP bermula 25 Mei ini berbanding 12 Mei lalu sebagaimana tular di media sosial, menunjukkan sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Katanya, menjadi persoalan adakah PKP ini sengaja membolehkan rakyat untuk keluar seperti biasa dalam tempoh waktu tersebut?

“Tempoh 12 jam itu sangat mengelirukan. Adakah orang ramai, selain pergi kerja masih boleh lakukan lain-lain tujuan termasuk ke pasar malam?

“Walaupun dinamakan PKP, tetapi orang awam tetap boleh keluar dari rumah, hanya bezanya perlu melalui sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Nurhafizah, tidak dinafikan gagal patuh SOP antara punca kes meningkat, tetapi tidak adil dan tidak wajar jika kerajaan mengatakan rakyat punca utama peningkatan kes tersebut.

Sedangkan, katanya, semua orang tahu akibat kerakusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu, serta kecuaian SOP kerajaan yang membenarkan kemasukan orang dari luar negara menjadi asbab utama kepada kes meningkat dan wujud varian baru di Malaysia.

“Jika ingin dibandingkan, bagaimana pula Menteri, Timbalan Menteri serta pemimpin politik yang disahkan positif Covid-19, adakah boleh disimpulkan mereka juga tidak patuh SOP?

“Wirawati Putra cadangkan agar dilaksanakan PKP secara menyeluruh seperti PKP 1.0, di mana semua sektor dikawal atau ditutup sementara melibatkan sektor yang tidak berkaitan ekonomi asas.

“Perkhidmatan awam dan swasta bekerja dari rumah kecuali barisan hadapan, manakala perkhidmatan pengangkutan awam pula dihadkan.

“Walaupun PKP penuh bukanlah pilihan kegemaran semua, tetapi kerajaan perlu bertegas seketika demi kemaslahatan dan kesejahteraan jangka panjang negara,” ujarnya.

Beliau menyataka, Malaysia mempunyai rekod kejayaan mengurus penularan Covid-19 tahun lalu boleh dijadikan model serta ditambahbaik seperti memberi bantuan sokongan kepada peniaga kecil, penganggur, keluarga B40 dan kumpulan bawah M40 bagi memastikan mereka punyai pendapatan yang sesuai demi kelangsungan hidup dalam tempoh itu.

Beliau yakin, kerajaan mampu memberikan bantuan khas dalam tempoh PKP penuh kali ini dan dalam masa sama membuka ruang pendapatan sampingan kepada perkhidmatan penghantar makan dan kurier terutama yang hilang punca pendapatan sejak PKP awal tahun lalu.

“Selain itu, Wirawati Putra juga mencadangkan kerajaan perhebatkan aplikasi jualan atas talian atau menggalakkan peniaga, penjaja, kenderaan bersaji atau kiosk berniaga di media sosial tanpa sebarang caj atau syarat.

“Ini bagi menjamin pulangan pendapatan mereka dalam tempoh tersebut dan syarikat yang membuat aplikasi atas talian juga perlu mengadakan kerjasama dengan kerajaan dan diarahkan membantu usahawan serta peniaga kecil di lokaliti masing-masing untuk memasarkan produk mereka secara atas talian dengan caj minimum.

“Kerajaan pula mempunyai kuasa penuh darurat untuk menggunakan wang negara. Pulihkan dahulu rakyat kerana mereka yang merancakkan ekonomi negara. Jika masih gagal dan keadaan Covid-19 naik berkali ganda lebih empat bulan darurat dikuatkuasakan, maka pikullah tanggungjawab atas kegagalan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast