Salah satu daripada dua buah kapal yang ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, Johor semalam.

KOTA TINGGI – Dua buah kapal tangki berdaftar di Hong Kong dan Thailand ditahan selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur.

Ia dikesan dalam Operasi Jangkar Haram semalam.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua kapal tersebut ditahan setelah nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal tangki pertama ditahan pukul 10.45 pagi di kedudukan 9.3 batu nautika timur Tanjung Lompat.  Kapal yang berdaftar di Hong Kong ini dikendalikan 17 kru warga China dan Myanmar, berumur antara 24 hingga 51 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Manakala kapal tangki kedua pula berdaftar di Thailand ditahan pada pukul 11.44 pagi di kedudukan 20.1 batu nautika timur laut Tanjung Siang,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Nurul Hizam betkata, kapal berkenaan dikendalikan 16 kru warga Thailand berumur antara 26 hingga 57 tahun serta turut mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast