Ismail Sabri Yaakob bersama Datuk Shahrul Nazri Abdul Rahim, Pengerusi Penjana Kapital (kiri) dan Pandu Sjahrir, Pengasas AC Ventures (kanan) selepas menandantangan perjanjian kerjasama semalam.

KUALA LUMPUR – Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) telah memeterai penjanjian dengan AC Ventures, sebuah firma pelaburan modal teroka yang terkemuka di Indonesia yang berfokus kepada rantau Asia Tenggara.

Penjana Kapital adalah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2020 yang merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memangkin pertumbuhan syarikat pemula niaga inovatif,

Manakala AC Ventures merupakan salah satu daripada lapan pengurus dana modal teroka yang terpilih di bawah Program Dana Penjana Nasional, sebuah program yang dikendalikan oleh Penjana Kapital.

AC Ventures telah bekerjasama dengan Translink Capital dan Vertex Force untuk melabur di dalam salah satu dana oleh Dana Penjana Nasional, SEA Frontier Fund yang memfokus kepada syarikat pemula niaga Malaysia untuk, antara lainnya, menembusi pasaran Indonesia serta menjalinkan kerjasama di dalam ekosistem teknologi serantau.

Ia mempunyai portfolio hampir 100 syarikat dan telah melabur ke dalam syarikat pemula niaga terkenal seperti Carsome, Xendit, Stockbit, Eden Farm dan Ula.

Melalui kerjasama antara Penjana Kapital dan AC Ventures, dana SEA Frontier Fund akan menggandakan usaha dalam strategi pelaburan yang tertumpu kepada syarikat pemula niaga yang ingin menjalankan perniagaan merentas sempadan serantau.

Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku
Zafrul Abdul Aziz telah menyaksikan majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Penjana Kapital dan AC Ventures di Jakarta semasa lawatan rasmi ke Indonesia selama empat hari.

Dana SEA Frontier Fund juga telah meraih komitmen daripada pelabur strategik asing termasuk sebuah syarikat konglomerat antarabangsa yang terkenal dari Korea Selatan.

SEA Frontier Fund kini mempunyai dana sebanyak RM200 juta dan menyasarkan untuk meraih pelaburan tambahan sebanyak RM100 juta dalam masa tiga bulan akan datang.

Penjana Kapital berkata, ia melihat peluang bagi syarikat pemula niaga Malaysia dalam beberapa sektor dibawah kerangka “Making Indonesia 4.0” seperti sektor automotif, agrikultur dan pemakanan serta kesihatan.

Dana Penjana Nasional telah mengumpul RM995.4 juta untuk lapan dana modal teroka di bawah program tersebut setakat Oktober 2021, berdasarkan padanan 1:1 dana oleh Kementerian Kewangan.

Daripada jumlah itu, RM562.7 juta merupakan modal pelabur asing dan swasta tempatan.

Penjana Kapital juga mengumumkan 30 pelaburan berjumlah RM267.2 juta telah diluluskan di bawah program Dana Penjana Nasional.

Dua daripadanya telah berjaya mencapai status ‘unicorn’ (perusahaan syarikat pemula niaga bernilai lebih AS$1 bilion).

Tengku Zafrul berkata, beliau mengalu-alukan keputusan AC Ventures untuk menguatkan kerjasama dengan Penjana Kapital dan melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia.

”Pelaburan ini adalah amat penting untuk merangsang ekosistem industri di negara kita dengan menggalakkan inovasi dan melengkapkan usahawan tempatan dengan sumber yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan terutamanya di Indonesia, pasaran konsumer terbesar di rantau Asia Tenggara.

”Menerusi pengetahuan industri tempatan yang luas dan rangkaian perniagaan yang besar oleh AC Ventures, syarikat pemula niaga Malaysia mempunyai peluang lebih baik untuk mencapai kejayaan dalam pasaran ekonomi Indonesia yang bernilai AS$1.0 trilion,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast