PUTRAJAYA – Sebanyak 5,337 kes sembuh Covid-19 telah direkodkan di dalam negara setakat jam 12 tengah hari tadi.
Perkembangan terkini itu menjadikan sebanyak 2,435,459 kes kumulatif atau 96.31 peratus direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 6,323 kes harian yang dilaporkan hari ini, 25 kes adalah kes import membabitkan 14 warganegara dan selebihnya warga asing.
“Manakala sebanyak 6,298 adalah kes tempatan yang mana 6,072 atau 96.4 peratus daripadanya adalah warganegara sementara 226 lagi bukan warganegara.
“Sementara itu, sebanyak 538 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 274 lagi memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.
Tambah beliau, daripada 6,323 kes harian yang dilaporkan pada hari ini 97 kes (1.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 6,226 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Dalam perkembangan terbaharu berkaitan kadar kebolehjangkitan atau saintifik Rnaught (Rt) dalam negara secara umum bacaannya masih kekal di bawah paras 1 iaitu 0.99.
Bagaimanapun lima negeri telah merekodkan nilai Rt melebihi paras 1.00.
Putrajaya mendahului negeri lain dengan bacaan nilai Rt yang tinggi iaitu 1.06 disusuli Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing 1.03 manalala Kelantan merekodkan Rt 1.01 dan Negeri Sembilan mencatatkan Rt 1.00.
Labuan masih kekal dengan bacaan Rt sifar.- MalaysiaGazette
















