KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah bas dalam satu kejadian berhampiran Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 5.45 petang itu membabitkan bas jenis Hino dengan motosikal jenis SYM.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika bas berkenaan mahu membelok masuk ke simpang kanan menghala ke hospital.

“Namun secara tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak lalu terus melanggar bahagian hadapan bas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Arsad berkata, mangsa dibawa ke hospital bagi menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik bagi tujuan bedah siasat.

“Orang ra mai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan diminta untuk menyalurkannya kepada pihak polis supaya tindakan lanjut dapat diambil,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tambah beliau.

Terdahulu, akaun Facebook, My Hulu Selangor, berkongsi rakaman berdurasi 19 saat memaparkan kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas dengan motosikal.

Berdasarkan video yang dirakam, seorang individu dilihat terbaring di atas jalan sambil dikerumuni orang ramai yang berada di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast