SIMPANG RENGGAM – Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, R. Sangaran mengakui kesusahannya dahulu menjadikan dirinya menjiwai bebanan rakyat.
Beliau tidak akan sesekali lupa akan asal usulnya sebelum menjadi seorang peguam berjaya.
Kehidupan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sebenarnya telah banyak mengajar pemuda berusia 32 tahun itu erti kesusahan hidup lagi-lagi jika mempunyai bilangan keluarga yang ramai.
Sangaran yang fasih bercakap bahasa Melayu, Tamil dan Inggeris itu berjanji mengabdikan dirinya dalam menjaga kebajikan dan keperluan masyarakat di DUN ditandinginya.
Antara yang menarik ditawarkan adalah pusat khidmat nasihat guaman untuk seluruh penduduk Machap selain menyediakan pusat komuniti bagi anak-anak muda.
“Ayah saya seorang pemandu lori dengan gaji RM950, kami ada empat adik beradik. Bayangkan betapa susah hidup dengan wang sebanyak itu sahaja, ibu adalah suri rumah.
“Ayah saya meninggal dunia ketika usia saya masih di bangku sekolah. Kemudian ibu pula menjadikan kami yatim piatu.
“Tetapi itu tidak sesekali membantutkan diri saya untuk terus ke menara gading dengan bantuan kawan-kawan terdekat. Hari ini saya beranikan diri menjadi calon kerana kesusahan dan keperitan yang telah saya lalui itu membuatkan diri saya sentiasa dekat dengan masyarakat.
“Keperluan dan kehendak mereka itu saya fahami dengan mudah kerana saya pernah lalui semua kepayahan itu. Ketika ini, politik adalah kuasa tetapi ramai juga ahli-ahli politik setelah menang lupa misi dan visi mereka. Yang tinggal hanya tamak kuasa dan penyewelengan amanah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Jika saya diberi peluang, katanya, beliau berjanji untuk berkhidmat kerana itu juga adalah janjinya kepada keluarga saya terutamanya mendiang ibu ayah saya.
Menurutnya, warga Machap perlukan perubahan.
“Antara inisiatif awal yang akan saya usahakan termasuklah khidmat nasihat guaman percuma, pusat komuniti untuk anak-anak muda termasuklah menambah unit perpustakaan mini, ruang komuniti untuk pelajar dan orang awam melakukan aktiviti termasuklah mesyuarat atau perbicangan,” katanya.

Sangaran juga merancang untuk menyediakan khidmat percetakan bahan pembelajaran percuma khasnya untuk para pelajar, studio yang lengkap dengan bahan pemasaran digital untuk usahawan tempatan yang mahu kembangkan perniagaan mereka.
“Saya juga telah merancang untuk kelas-kelas dan tutorial pembangunan usahawan bagi terus menyokong golongan ini. Selain itu menyediakan pusat khidmat pungutan hasil agro selain inisiatif pengecualian bayaran sewa bagi tapak pasar.
“Selain itu, saya juga merancang untuk menyediakan gelanggang pelbagai guna bagi aktiviti-aktiviti sukan . Semua ini adalah perancangan seandainya diberikan mandat kerana apabila kita ada kuasa itu sememangnya tidak ada apa-apa alasan untuk tidak lakukannya,” ujarnya.
Sangaran akan berdepan dengan calon bukan calang-calang antaranya pertembungan Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan cicit kepada pengasas UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar.
Selain itu, persaingan bagi kerusi ‘panas’ juga disertai Ketua Dewan Ulama Pas Johor, Azlisham Azahar yang mewakili Perikatan Nasional sekaligus menjadikan pertandingan empat penjuru pada 12 Mac ini. – MalaysiaGazette
















