Buat julung kalinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) peringkat nasional di seluruh negara sepanjang bulan ini.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan (BPK) peringkat nasional di seluruh negara sepanjang bulan ini.

Kementerian itu berkata, BPK 2022 akan disambut bermula 1 hingga 31 Mac ini bertujuan memperkasakan pengguna agar lebih cakna dan berdaya upaya dalam aspek perlindungan.

Tambah KPDNHEP, BPK bersesuaian dengan sambutan Hari Hak Pengguna Sedunia (HHPS) yang disambut pada 15 Mac setiap tahun dengan tema Fair Digital Finance yang bermaksud kesaksamaan dalam kewangan digital.

“KPDNHEP mengadaptasi tema berkenaan selaras dengan keadaan dan kesesuaian masyarakat pengguna di negara ini iaitu Digitalisasi Pengguna yang berfokuskan kepada penggunaan transaksi atas talian yang lebih mudah, cepat dan selamat bagi urusan harian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas KPDNHEP, pemilihan tema BPK bersesuaian dengan senario pandemik Covid-19 yang memerlukan sebahagian besar transaksi bayaran, jual beli dilakukan tanpa sentuhan.

Kementerian itu berharap supaya para pengguna turut bersama dengan arus teknologi digital dn dalam masa yang sama melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kepenggunaan digital lebih-lebih lagi dari sudut keselamatan dan perlindungan dari ancaman scam, penipuan, penggodam dan sebagainya.

Tambah KPDNHEP, pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan sepanjang sambutan BPK 2022 antaranya adalah melibatkan komuniti, komuniti, wacana ilmiah, kembara rakan KPDNHEP, jualan, karnival kepenggunaan, promosi dan pertandingan kepenggunaan.

Kemuncak sambutan BPK 2022 akan diadakan pada 26 Mac
2022.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast